Wednesday, June 11, 2014

J-Lo tarik diri tiga hari sebelum upacara pembukaan Piala Dunia.




J-Lo tarik diri tiga hari sebelum upacara pembukaan Piala Dunia


SAO PAULO: Bintang popular Jennifer Lopez menarik diri dari terlibat dalam persembahan pembukaan Piala Dunia di Brazil yang hanya tinggal tiga hari sahaja lagi, kata FIFA pada Ahad.

Lopez yang merakamkan lagu tema Piala Dunia bertajuk "We Are One" bersama Pitbull dan penyanyi dari Brazil Claudia Leitte dijadual akan membuat persembahan bersama di upacara pembukaan di Sao Paulo.

"Atas sebab-sebab produksi, Jennifer Lopez, salah seorang artis yang menyanyikan lagu tema "We Are One" tidak akan membuat persembahan di upacara pembukaan Piala Dunia FIFA," dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media.

Persembahan berdurasi 25 minit itu akan melibatkan 600 artis termasuk gimnas akrobatik, persembahan seni mempertahankan diri capoeira dan pejalan kaki jangkungan.

Acara kemuncak pada upacara itu adalah persembahan lagu tema "We Are One" tanpa Lopez dengan diiringi pemain drum Brazil, Olodum.

Penyanyi rap Pitbull berkata penarikan diri J-Lo tidak akan menjejaskan semangat beliau.

"Untuk mempersembahkan "We Are One" kepada dunia terutamanya di sebuah negara indah seperti Brazil akan memberikan lebih keseronokan. Lebih daripada ini, ia akan menunjukkan kepada dunia bahawa muzik adalah bahasa sejagat," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh FIFA.

Lopez turut terlepas peluang pada satu acara yang diadakan Januari lalu bila mana Pitbull dan Leitte mendedahkan perancangan terhadap lagu tersebut.

Lebih 60,000 penonton akan berada di Corinthians Arena di Sao Paulo bagi menyaksikan upacara pembukaan itu dan perlawanan pembukaan antara Brazil dan Croatia.

Lebih satu bilion penonton dijangka menyaksikan upacara itu secara langsung di seluruh dunia.


Arip Raih Gelaran Juara Kilauan Emas 4





KUALA LUMPUR: Peserta Arip diumumkan juara pada pertandingan Kilauan Emas musim keempat yang diadakan secara langsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, di sini.

Arip atau nama sebenarnya Omar Sharif Mat Din sekali gus menerima hadiah berupa wang tunai RM100,000, sebuah kereta Toyota Camry beserta trofi dan pakej percutian ke Bali.

Arip turut menerima Anugerah Khas Juri sebagai menambat hati juri mengadakan persembahan terbaik.

Dalam pada itu Zain atau nama sebenarnya Md Zain Ramli meraih tempat kedua dengan membawa pulang RM50,000, sebuah kereta Toyota X Gear, sebuah trofi dan pakej percutian ke Ho Chi Minh.

Manakala tempat ketiga diberikan kepada Ben atau Benasil Kudong, menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak RM30,000, sebuah trofi, pakej percutian ke Bandung.